Ketua jurulatih Jerman, Joachim Low, mengesahkan bahawa Marco Reus dan Toni Kroos akan diketepikan daripada aksi persahabatan menentang Russia, awal pagi nanti.

Penyerang Borussia Dortmund, Reus, mengalami bengkak kaki dan hanya menjalani latihan ringan, namun dijangka mampu beraksi dalam aksi Liga Negara-Negara Eropah berdepan Belanda, minggu depan.

Kroos pula tidak menyertai sesi latihan kerana diberikan waktu rehat lebih panjang.

"Marco Reus tidak bersama kami dan tidak dapat beraksi menentang Russia.

"Dia dijadualkan untuk menyertai latihan ringan dan kami akan memantau perkembangannya dari semasa ke semasa.

"Toni pula diberikan waktu rehat lebih panjang," kata Low dalam sidang media.

Low menjangkakan aksi sukar bakal disajikan Russia sambil mencari jalan memulihkan reputasi pasukannya yang hanya memenangi dua daripada tujuh perlawanan terakhir di tempat lawan.

Mereka mungkin disingkirkan daripada Liga A Negara-Negara Eropah, namun Low tidak mahu tertekan berdepan dua perlawanan terakhir mereka.

"Kami dalam situasi bergolak. Perlawanan menentang Perancis akan menjadi penentu perjalanan kami.

"Keputusan perlawanan esok tidak terlalu penting.

"Russia kini kembali kepada tahap terbaik mereka seperti pada 2008.

"Mereka sangat berdisiplin, agresif dan berbahaya sewaktu serangan balas.

"Pengaruh jurulatih amat jelas dalam permainan mereka.

"Kami melakukan kesalahan besar dalam Liga Negara-Negara.

"Kami tidak akan berputus asa andai tersingkir.

"Jika tersingkir, kami akan menerimanya dan fokus kepada kelayakan Euro 2020," katanya lagi.