ESPANYOL 1 BARCELONA 0

Rentetan 29 perlawanan tanpa kalah Barcelona akhirnya tamat selepas tewas mengejut 1-0 di tangan Espanyol dalam aksi suku akhir pertama Piala Raja Sepanyol di Stadium RCDE, awal pagi tadi.


Turun sebagai juara bertahan, skuad bimbingan Ernesto Valverde itu berpeluang berada di depan seawal minit pertama, namun sepakan percuma Lionel Messi sekadar melewati palang gol sebelum rembatan pemain Argentina itu pada minit ke-22 ditangkap kemas penjaga gol, Diego Lopez.

Paulinho turut berpeluang untuk meletakkan Barca dalam kedudukan selesa tujuh minit kemudian tetapi tendangannya tersasar ke sebelah kanan gawang dan percubaan jarak dekat Denis Suarez seminit sebelum waktu rehat sempat diselamatkan oleh pertahanan tuan rumah, Oscar Duarte.

Peluang keemasan pelawat untuk mendahului muncul pada minit ke-62 apabila Sergi Roberto dijatuhkan dalam kotak penalti oleh Esteban Granero.

Bagaimanapun, Messi gagal menyempurnakan sepakan itu selepas Lopez melayangkan badan untuk menepis percubaan pemenang anugerah lima kali Ballon d'Or itu serta terus memastikan gawangnya kebal daripada dibolosi.

Espanyol hampir mengejutkan pelawat menerusi sepakan percuma dari jarak 20 ela menerusi Marc Navarro sebelum percubaannya ditampan keluar oleh penjaga gol Barcelona, Jasper Cillessen.

Tatkala perlawanan bakal berakhir dengan keputusan seri, Oscar Melendo mencipta kejutan apabila mencatat gol kemenangan menerusi tendangan kaki kiri selepas menerima umpanan Navarro dari sebelah kanan dan keputusan 1-0 kekal sehingga aksi ditamatkan.

Barca masih berpeluang untuk mara ke separuh akhir apabila turun bagi aksi timbal-balik di Camp Nou pada 26 Januari ini.