RED STAR BELGRADE 0 NAPOLI 0

Carlo Ancelotti melabel Red Star Belgrade "pakar membuang masa" selepas Napoli seri tanpa jaringan dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi.


Napoli mendominasi permainan dan menggegar palang gol dua kali, namun gagal memberikan tekanan kepada penjaga gol, Milan Borjan, ketika beraksi di ibu negara Serbia itu.

Ia merupakan permulaan yang mengecewakan buat kelab Serie A itu, yang berdepan tugas sukar untuk melepasi Kumpulan C apabila bakal bertemu Liverpool dan Paris Saint-Germain (PSG).

Ancelotti yakin pasukannya berpuas hati dengan satu mata selepas tidak boleh menerima gaya permainan Red Star yang melengahkan masa pada penghujung perlawanan.

"Tidak apa mampu dilakukan dalam baki 15 minit perlawanan," kata Ancelotti.

"Mereka adalah pakar membuang masa dan merebahkan badan. Permainan mereka sangat padat dan sentiasa mencari kesalahan.

"Tetapi ia bukan masalahnya. Kami seharusnya menjaringkan gol terlebih dahulu.

"Kami melakukan kesilapan dalam hantaran dan percubaan. Kami juga kurang bernasib baik," ujarnya.

Ketika saingan yang lebih sukar menanti mereka, Ancelotti – yang memenangi UCL tiga kali sebagai jurulatih -- memberikan amaran kepada pemain-pemain supaya tidak terpalit dengan keputusan itu.

"Kami tidak memenangi perlawanan yang penting tetapi ia tidak bermakna kami harus bersifat negatif.

"Masih terdapat lima perlawanan dan kami mampu menewaskan mana-mana pasukan. Sayangnya, kami gagal mencetak jaringan dalam perlawanan ini."