Ketua urulatih skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee, berang dengan tindakan Terengganu FC (TFC) II yang tidak memberi sebarang reaksi berhubung hasrat pengendali itu mahu menggunakan khidmat pertahanan kanan mereka, Mohd Ridzuan Razali.

Kim Swee kecewa setelah barisan kejurulatihan TFC II tidak mengendahkan panggilan dan pesanan ringkas yang telah ditinggalkan tatkala status pelepasan Ridzuan masih belum pasti dan hal itu menimbulkan rasa tidak puas hati jurulatih itu.

Jika tidak mendapat pelepasan atau sebaliknya, pihak kejurulatihan TFC II perlu memberi jawapan, apatah lagi ia juga melibatkan misi skuad negara.

"Yang tidak memberi maklum balas itu amat mengecewakan tetapi ini hak mereka dan kami harus terima. Jika mereka tidak benarkan, saya harus terima keinginan mereka," kata Kim Swee.

Sesi latihan hari kedua menyaksikan dua pemain yang dipanggil pada saat-saat akhir, iaitu Mohd Danish Haziq Saiful Hisham dari Negeri Sembilan dan K. Thivendran dari Petaling Jaya City FC sudahpun memulakan latihan bersama pasukan.

"Di Phnom Penh nanti, kami akan melalui sekurang-kurangnya tiga perlawanan yang berkualiti, jadi saya dapat menilai pemain.

"Mana-mana pemain yang tidak hadir ketika Kejohanan AFF, kemungkinan ia berlaku dalam Kejohanan AFC. Saya sudah mempunyai barisan pemain yang saya fikir mampu untuk mengisi slot tertentu," katanya lagi.