MANCHESTER UNITED 4 BURTON ALBION 1

Dua penyerang muda Manchester United, Marcus Rashford dan Anthony Martial, memperagakan aksi memukau bagi memastikan skuad The Red Devils mengesahkan kemaraan dalam saingan Piala Carabao hasil kemenangan 4-1 dalam perlawanan pusingan ketiga, awal pagi tadi.


Beraksi di laman sendiri, United turun selaku juara bertahan tanpa beberapa tonggak utama seperti David De Gea, Nemanja Matic, Antonio Valencia serta penyerang utama, Romelu Lukaku.

Bagaimanapun, kelibat Martial dan Rashford yang pertama kali beraksi bersama pada musim ini ternyata cukup bertenaga apabila Rashford membuka tirai jaringan seawal minit kelima sebelum menambah gol kedua pada minit ke-17 untuk meletakkan United 2-0 di depan.

Kombinasi Rashford, Martial serta Jesse Lingard terus mempamerkan taring apabila Lingard pula meletakkan United selesa mendahului 3-0 pada minit ke-36 selepas menyempurnakan gerakan solo menarik daripada Martial.

Babak kedua menyaksikan pengendali United, Jose Mourinho, melakukan pertukaran selepas menggantikan Juan Mata dengan pertahanan England yang kembali daripada isu kecederaan, Luke Shaw.

Kemasukan Shaw jelas memberikan lebih ruang buat Martial untuk berada di bahagian serangan pasukan berbanding beraksi di bahagian sayap kiri sebelum itu, sekaligus membolehkan penyerang muda Perancis itu menjaringkan gol keempat United pada minit ke-60 selepas menyempurnakan hantaran pendek Rashford.

Gol sagu hati Burton diraih pada minit terakhir perlawanan menerusi Lloyd Dyer dan keputusan 4-1 kekal sehingga ke wisel penamat.

Keputusan lain:

Arsenal 1 Doncaster Rovers 0

Chelsea 5 Nottingham Forest 1

Everton 3 Sunderland 0

West Bromwich Albion 1 Manchester City 2