Megan Rapinoe menggesa Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi serta semua bintang sukan lain agar lantang bersuara mengenai isu sosial, termasuk perkauman dan seksisme.

Pemain bola sepak Amerika Syarikat, Rapinoe, yang meraih anugerah Ballon d'Or wanita minggu ini, menyertai Messi di pentas ketika majlis gala anugerah itu tatkala bintang Barcelona itu unggul dalam kategori lelaki buat kali keenam, satu mengatasi seterunya, Ronaldo.

Namun, Rapinoe -- yang telah lama menentang diskriminasi itu -- tidak percaya pemain bola sepak lelaki telah menjalankan tanggungjawab yang cukup mengenai isu itu.

"Saya mahu menjerit, 'Ronaldo, Messi, Zlatan Ibrahimovic, bantu saya'," katanya kepada France Football.

"Barisan bintang ini tidak melibatkan diri dalam apa jua perkara sewaktu banyak masalah timbul dalam bola sepak lelaki.

"Adakah mereka takut kehilangan segalanya? Mereka mempercayainya tetapi ia tidak benar.

"Siapa yang akan padamkan nama Ronaldo atau Messi dalam dunia bola sepak kerana kenyataan yang menentang perkauman dan seksisme?"

Rapinoe berpendapat pencapaian individunya memainkan peranan dalam usaha untuk mendedahkan topik utama.

"Anugerah Ballon d'Or ini memberikan kedua-duanya," katanya.

"Saya seorang pemain bola sepak yang bagus dan dalam masa sama, penglibatan saya menarik minat.

"Orang ramai faham bahawa saya cuba mencari penyelesaian kepada masalah dalam masyarakat. Tujuannya adalah untuk menggalakkan yang lain agar lantang bersuara."