Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) mengesahkan ketua pasukan Real Madrid, Sergio Ramos, dalam siasatan berikutan mengakui sengaja mengundang kad kuning dalam kemenangan ke atas Ajax dalam Liga Juara-Juara (UCL).

Membuat penampilan ke-600 bersama kelab itu, Ramos dilayangkan kad kuning ekoran kekasaran ke atas penyerang Ajax, Kasper Dolberg.

Madrid mendahului 2-1 ketika hukuman itu dikenakan kepada Ramos yang akan terlepas perlawanan timbal balik di Santiago Bernabeu.

Ramos mendakwa sengaja menempah kad kuning itu supaya dia dikenakan penggantungan sebelum peringkat suku akhir sekiranya juara bertahan tiga kali itu mara.

"Berdasarkan keputusan perlawanan, bohonglah kalau saya mengatakan bahawa saya tidak memasang niat (untuk mendapatkan kad kuning)," katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

"Saya bukannya memandang rendah kepada pihak lawan atau memikirkan bahawa perlawanan di peringkat ini sudah pun berakhir, sebaliknya dalam bola sepak anda perlu membuat keputusan yang sukar."

Begitupun, Ramos kemudian melanjutkan kenyataannya itu dengan menerangkannya di media sosial.

"Saya mahu jelaskan bahawa ulasan yang dibuat telah menyakiti hati ramai orang.

"Saya bukannya sengaja mengundang kad kuning itu, begitu juga ketika aksi membabitkan Roma dalam perlawanan UCL sebelum ini," kata kapten Madrid itu di Twitter.

"Saya akan menyokong dari tempat duduk penyokong dengan anggapan sudah berada dalam suku akhir."

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, UEFA mengesahkan ulasan Ramos itu sedang dipantau.

"Prosiding tatatertib telah dibuka berdasarkan Artikel 31(3) Peraturan Disiplin UEFA berhubung kenyataan yang dibuat oleh pemain Real Madrid, Sergio Ramos," kata badan induk itu.

"Maklumat berkaitan dengan siasatan ini akan disediakan dalam masa terdekat."

Pada Disember 2017, pertahanan kanan Madrid, Dani Carvajal, digantung dua perlawanan selepas didapati sengaja menempah kad kuning.

Carvajal dianggap telah membuang masa pada penghujung perlawanan dalam kemenangan 6-0 Madrid ke atas kelab Cyprus, Apoel Nicosia, sehingga digantung perlawanan untuk pertemuan dengan Borussia Dortmund, manakala gergasi LaLiga itu sudah pun layak ke pusingan kalah mati.

Sekiranya Ramos dikenakan hukuman yang sama dengan Carvajal, maka dia akan terlepas pertemuan pertama suku akhir jika Madrid mengatasi Ajax.

UEFA juga mengesahkan prosiding tatatertib telah dibuka terhadap Ajax dan Madrid kerana mercun yang dibakar penyokong ketika perlawanan.

Di samping itu, Ajax akan disiasat kerana menaikkan sepanduk yang tidak dibenarkan serta membaling objek.