Real Madrid bakal ketiadaan kapten pasukan, Sergio Ramos, selepas disahkan mengalami kecederaan lutut kiri ketika berkhidmat bersama Sepanyol pada Ahad.

Pemain pertahanan itu mengalami kecederaan berkenaan dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018 berdepan Albania dan terpaksa digantikan pada minit ke-80.

Doktor pasukan, Oscar Celada, mengesahkan sejurus selepas tamat perlawanan di Shkoder -- yang berkesudahan 2-0 memihak kepada Sepanyol -- Ramos mengalami kecederaan di bahagian ligamen lutut kirinya.

Bekas pertahanan Sevilla itu menjalani ujian pada Isnin dan Madrid telah mengeluarkan satu kenyataan mengenai ujian tersebut.

"Selepas ujian yang telah dijalankan ke atas Sergio Ramos di Hospital Universiti Sanitas La Moraleja, dia didapati terseliuh di bahagian medial collateral ligament (MCL) pada lutut kirinya.

Laporan dari Sepanyol mencadangkan pemain berusia 30 tahun itu akan berehat selama sebulan.

Dia bakal terlepas aksi La Liga berdepan Real Betis, Athletic Bilbao, Alaves dan Leganes selain aksi Liga Juara-Juara berdepan Legia Warsaw.