Kapten Real Madrid, Sergio Ramos, mengakui pasukannya memikirkan aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Paris Saint-Germain (PSG) ketika menewaskan Real Sociedad 5-2, awal pagi tadi.

Madrid mendahului 4-0 dalam babak pertama tetapi kesilapan pertahanan membolehkan lawan mencatat dua jaringan dalam pertemuan yang menyaksikan Cristiano Ronaldo mengutip hatrik pertamanya, musim ini.

Zidane merehatkan Casemiro dan Gareth Bale dalam aksi di Santiago Bernabeu tetapi Ramos sedar kepantasan permainan menurun dalam separuh masa kedua.

"Dalam aksi hari ini, kami bermain dengan tekanan dan tempo permainan yang tinggi, membolehkan kami melihat perbezaan yang ketara. Penyudah di depan gol juga tampak berjaya.

"Tipu jika saya katakan kami tidak memikirkan tentang PSG. Objektif hari ini adalah mendapatkan keyakinan dan kami memperolehnya.

"Inilah yang dimahukan setiap pasukan bola sepak, corak permainan yang berdasarkan kepantasan dan tahap disiplin," ujarnya.

Ramos juga berharap peminat-peminat meneruskan sokongan kepada pasukan walaupun penyerang, Karim Benzema, dilihat menerima cemuhan apabila kebanyakan penyokong bersiul mengejek pemain dari Perancis itu.

"Tanpa penyokong, siapalah kami. Kami amat memerlukan mereka untuk berdepan PSG.

"Mari ketepikan isu mengenai ejekan," tambahnya.

Sementara itu, Asier Illarramendi yang pernah menyarung jersi Madrid turut mencipta satu jaringan buat Sociedad dan dia mengakui kesilapan membenarkan gol awal Vazquez ketika aksi berusia 49 saat mempengaruhi keseluruhan perlawanan.

"Babak pertama seperti satu malapetaka.

"Kami mahu bertahan sehingga minit ke-20 tanpa gol tetapi gagal," katanya.