Adil Rami mengumumkan persaraannya daripada bola sepak antarabangsa selepas memenangi Piala Dunia 2018 bersama Perancis awal pagi tadi.

Pertahanan tengah Marseille itu membuat kemunculannya bersama Perancis pada 2010 dan telah beraksi sebanyak 35 kali untuk negaranya.

Meskipun menjadi anggota skuad Didier Deschamps di Russia, pemain berusia 32 tahun itu tidak pernah diturunkan dalam sebarang aksi.

Bagaimanapun, dia tetap berasakan sebahagian daripada kejayaan pasukan itu berikutan latihan melelahkan -- dan kini Rami memutuskan untuk bersara di tahap tinggi.

Bercakap kepada TF1, Rami berkata: "Pasukan Perancis sudah berakhir buat saya."

Dan apabila bercakap dengan RMC Sport, dia menambah: "Walaupun saya tidak diturunkan, saya perlu bersiap sedia sepanjang 90 minit.

"Saya berlatih dua kali sehari, pasukan ini sangat besar, saya tidak mempunyai kata-kata untuk itu. Suasananya amat luar biasa.

"Saya tidak pernah melihat sebuah pasukan Perancis dengan suasana seperti ini. Ceria pada setiap hari walaupun selepas mahupun sebelum perlawanan . Ia indah."