Jurulatih PKNS FC, Datuk K. Rajagobal, enggan bersikap terburu-buru untuk menamakan awang import kelima skuadnya kerana mahu membuat keputusan tepat demi kebaikan pasukan.

Bekas penyerang Kedah, Ken Ilso Larsen, yang sebelum ini dikaitkan dengan PKNS, kini sudah ke Pulau Pinang, namun Rajagobal tetap tenang dengan perkembangan itu.

Laman web rasmi Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) hari ini menyiarkan ketibaan pemain itu di Pulau Pinang yang tampak menamatkan spekulasi perpindahannya ke PKNS.

Namun, Rajagobal tetap dengan pendiriannya kerana mahu membuat keputusan tepat buat pasukannya.

"Ia adalah satu situasi di mana saya tidak mahu membuat keputusan dengan segera kerana kami perlu melihatnya dengan baik.

"Adakah pemain ini serasi dengan apa yang kami mahu terapkan dalam PKNS?" katanya.

Kapten pasukan Safee Sali, Romel Oswaldo Morales Ramirez dan Mohammad Khyril Muhymeen Zambri adalah penyerang sedia ada dalam pasukan itu.

Khyril mengakui dia masih perlu menggandakan usaha jika mahu berada dalam kesebelasan utama pasukan walaupun kerap digunakan Rajagobal dalam aksi persahabatan.

"Bagi tahun ini, jurulatih mahu saya fokus kepada posisi nombor 9 dan 10 (penyerang). Tempat itu memang sudah lama saya bermain.

"Persaingan tetap ada, dengan Safee juga sebagai kapten. Tetapi kalau ada kecederaan atau penggantungan, saya sedia untuk bermain," kata Khyril.