Christian Pulisic menjaringkan dua gol bagi membolehkan Borussia Dortmund bangkit daripada ketinggalan untuk menundukkan Liverpool 3-1 dalam aksi Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC), awal pagi tadi.

Pasukan bimbingan Jurgen Klopp itu berada di landasan terbaik untuk mengatasi bekas kelabnya tetapi dua gol Pulisic dalam babak kedua membantu Dortmund untuk mengutip tiga lagi mata dalam saingan ICC selepas membenam Manchester City 1-0, sebelum ini.

Liverpool mendominasi separuh masa pertama dan Virgil Van Dijk menanduk bola masuk untuk memberikan pendahuluan buat anak-anak buah Klopp selepas menyempurnakan hantaran lintang daripada Andrew Robertson.

Walaupun Sheyi Ojo melakukan percubaan yang mengenai palang gol Dortmund dan Liverpool dilihat lebih banyak mencipta peluang, Dortmund melancarkan serangan balas sehingga memberikan mereka sepakan penalti di pertengahan separuh masa kedua.

Pulisic yang dijatuhkan oleh James Milner dan Ragnar Klavan ketika membuat larian tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan sepakan penalti tersebut.

Apabila Dortmund meranapkan pendahuluan Liverpool pada minit ke-89, Pulisic meletakkan kelab Bundesliga itu di depan, sebelum Jacob Larsen menambah gol ketiga ketika aksi memasuki waktu kecederaan.

Memandangkan penjaga gol yang baru menyertai Liverpool, Alisson, masih belum bersama rakan sepasukan, Loris Karius diberikan tugas untuk menjaga gawang dalam aksi di Stadium Bank of America, Charlotte itu.

Penjaga gol dari Jerman itu hampir melakukan kesilapan yang mampu menghadiahkan jaringan buat lawan selepas terlepas bola kepada Maximilian Philipp, namun percubaan dari jarak 40 ela sekadar tersasar walaupun pintu gol terbuka luas.

Philip sekali lagi melepaskan peluang untuk mencatat jaringan di awal perlawanan setelah percubaannya tepat ke dakapan Karius sambil Liverpool terpaksa melakukan pertukaran awal ekoran kecederaan paha yang dialami Joel Matip.

Gandingannya, Van Dijk, akhirnya memecahkan kebuntuan pada minit ke-25.

Rafael Camacho melakukan hantaran pendek buat Andrew Robertson ketika sepakan sudut, sebelum bek kiri itu melepaskan hantaran lintang yang tepat buat Van Dijk tanpa dicabar pemain lawan dan disudahkan dengan tandukan deras.

Marius Wolf turut terlepas peluang untuk menewaskan Karius ketika Mahmoud Dahoud melakukan larian deras dari sebelah kanan kotak penalti Liverpool.

Pemain muda, Curtis Jones, merupakan salah seorang daripada lapan pemain yang dikeluarkan dalam babak pertama dan Naby Keita dibawa masuk, sambil Dortmund melakukan pertukaran pemain yang ramai.

Milner hampir menggandakan kelebihan pada minit ke-56 tetapi percubaan pemain tengah itu dari jarak 25 ela hanya melencong melepasi palang gol.

Ojo sepatutnya menjaringkan gol setelah menerima lorongan Daniel Sturridge tetapi penjaga gol, Marwin Hitz, lebih tangkas untuk membuatkan percubaan itu sekadar singgah ke tiang gol.

Dortmund memulakan kebangkitan mereka menerusi gol penyamaan pada minit ke-66.

Cubaan Pulisic untuk masuk ke dalam kotak penalti cuba dihalang oleh Milner dan Klavan, membuatkan pengadil tidak teragak-agak untuk menunjukkan ke arah titik di tengah kotak.

Tandukan Joe Gomez tepat ke dakapan Hitz dan Liverpool terpaksa menanggung kesilapan mempersiakan peluang terhidang tatkala Dortmund menyumbat dua gol pada minit-minit akhir untuk mengesahkan tiga mata.

Hantaran rendah Marcel Schmelzer mudah disudahkan oleh Pulisic untuk memberi kelebihan 2-1 buat Dortmund dan pasukan kendalian Lucien Favre itu melengkapkan kebangkitan dramatik menerusi gol pada minit ke-93 daripada Larsen setelah Karius menafikan percubaan awal Pulisic di dalam kawasan bahaya.