Leonardo Jardim percaya Paris Saint-Germain (PSG) memiliki kelebihan menjelang aksi final Coupe de la Ligue apabila ramai pemain Monaco terlibat dalam aksi perlawanan antarabangsa.

Monaco mengharungi musim 2016-17 dengan penuh bergaya, dengan sebilangan besar pemain mudanya terpilih untuk menyertai skuad kebangsaan minggu lalu seperti Benjamin Mendy, Tiemoue Bakayoko dan Kylian Mbappe menerima panggilan beraksi bersama Perancis.

Pengendali pasukan, Jardim, bimbang dengan pengalaman baru ini akan memberikan impak negatif kepada pasukannya dalam pertemuan berdepan PSG.

"Aksi final selalunya seimbang, tiada pasukan pilihan," jelas Jardim

"Semestinya, PSG adalah pasukan yang berpengalaman kerana mereka telah memenangi tiga edisi sebelum ini.

"Mereka memiliki sedikit kelebihan kerana ramai pemain kami terpilih menyertai skuad kebangsaan."

Monaco bakal ketiadaan beberapa tonggak utama seperti Djibril Sidibe dan penjaring terbanyak pasukan, Radamel Falcao, yang masih mengalami kecederaan.