"Tiada masalah buat Harimau Malaya." Itu pandangan Datuk Ong Kim Swee yang pernah membimbing skuad negara mengharungi aksi play-off kelayakan Piala Dunia 2018 tiga tahun lalu dengan mencetak dua kemenangan berturut-turut ke atas Timor Leste.

"Saya percaya dengan kemampuan skuad negara. Harimau Malaya mampu mencapai keputusan yang baik.

"Kita tidak boleh ambil mudah aksi di tempat lawan, inilah cabaran yang bakal skuad negara hadapi," katanya.

Kim Swee, bagaimanapun, berasakan cabaran utama yang perlu ditempuhi skuad negara adalah beraksi ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri, 6 Jun depan, manakala aksi timbal balik, lima hari kemudian.

Ini kerana baginya, kekuatan mental barisan pemain akan diuji sambil mengharapkan mereka dapat melakukan pengorbanan demi negara.

Bekas jurulatih negara, Dollah Salleh, turut percaya terhadap kemampuan skuad negara melepasi ranjau Timor Leste untuk mara ke pusingan seterusnya dalam kelayakan itu.

"Apa jua pasukan yang akan skuad negara jumpa, jangan ambil mudah.

"Apa yang penting, skuad negara berikan tumpuan kepada persiapan dalam soal pendekatan permainan yang mahu diketengahkan," kata Dollah.

Sementara itu, tiada jalan mudah buat tiga penjaga gol kebangsaan yang terdiri daripada Khairul Fahmi Che Mat, Farizal Marlias dan Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.

Mereka kekal bersaing untuk merebut tempat dalam skuad kebangsaan dan pada masa sama, barisan kejurulatihan negara memiliki beberapa nama lain untuk diketengahkan.

"Ada beberapa calon penjaga gol yang prestasi mereka sedang dinilai.

"Namun, segalanya terpulang kepada ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe, berhubung kriteria penjaga gol yang beliau hajati," kata jurulatih penjaga gol kebangsaan, Azmin Azram Abdul Aziz.