Pengurus PKNS FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid, tidak mahu bermusuh, malah tetap menganggap Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) sebagai sumber rujukan dan pilihan utama jika melibatkan apa-apa perancangan di masa hadapan.

Skuad Semut Merah masih meletakkan FAS sebagai keutamaan mereka, jauh sekali untuk bermasam muka berhubung isu dana sehingga membawa kepada keputusan drastik FAS untuk tidak memberikan pelepasan buat PKNS beraksi pada musim 2017.

Walaupun nasib PKNS diselamatkan Persatuan Bola Sepak Melayu Selangor (PBSMS), itu tidak bermakna PKNS-FAS berpatah arang untuk meneruskan lagi usaha dan kerjasama di masa akan datang.

"Kami berharap segala spekulasi dan perkara yang bersangkutan dengannya, perlu dielakkan pada masa akan datang.

"Kami perlu memandang ke hadapan untuk mempersiapkan pasukan.

"Kami ingin tegaskan hubungan kami tiada masalah. Kami berharap perkara ini tidak berpanjangan kerana kami berada dalam satu bumbung yang sama untuk memajukan bola sepak Malaysia," ujar Mahfizul.

Dalam masa yang sama, berita gembira berhubung status PKNS musim depan disambut dengan kelegaan para pemain PKNS yang turut bimbang akan nasib mereka andai keputusan itu tidak memihak kepada PKNS.

"Kebanyakan pemain berasa lega kerana ini melibatkan masa depan mereka.

"Saya percaya keyakinan pemain terhadap pengurusan adalah positif."