PKNS FC hari ini mengemukakan penyertaannya kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) untuk beraksi dalam Liga Malaysia musim depan.

Perkara itu disahkan Presiden PKNS FC, Siti Zubaidah Abdul Jabar, selepas kelab itu menjadi Ahli Gabungan Persatuan Bola Sepak Melayu Selangor (PBSMS) dan turut mendapat sokongan daripada Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM), semalam.

Dalam satu kenyataan, Zubaidah berkata adalah menjadi harapan semua peminat sukan bola sepak di seluruh negara untuk melihat pasukan PKNS FC bersaing dalam Liga Malaysia 2017.

"Pada hari ini, PKNS FC telah mengemukakan semula pengesahan penyertaan kami dalam Liga Super 2017 dengan sokongan daripada PBMM kepada FAM dan FMLLP berlandaskan peraturan sedia ada.

"PKNS FC tiada hasrat untuk menimbulkan sebarang polemik baru dalam isu penyertaan ke Liga Malaysia 2017.

"Ia kerana kami berpandangan sukan bola sepak yang kita sayangi ini memerlukan kerjasama profesional, komitmen yang tinggi dan keikhlasan daripada pelbagai pihak," katanya.

Tambah Zubaidah, keputusan menyertai gabungan PBSMS itu berdasarkan pelbagai aspek bagi menyelesaikan masalah penyertaan PKNS FC dalam saingan Liga Malaysia 2017, malah paling penting adalah untuk meneruskan usaha pembangunan bola sepak PKNS dan negeri Selangor.

"Dengan ini, dimaklumkan bahawa kelab PKNS FC telah pun menjadi ahli gabungan PBSMS berkuatkuasa pada 6 Disember 2016.

"Menerusi kerjasama dan persepakatan baru ini, PKNS FC mendapati PBSMS turut berkongsi aspirasi yang sama dan mempunyai komitmen yang tinggi terhadap pembangunan sukan bola sepak negeri Selangor," kata Zubaidah.

Sebelum ini, penyertaan PKNS FC dalam saingan musim depan menimbulkan tanda tanya apabila Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) enggan memberi sokongan kepada kelab itu.

Mengikut Peraturan Pertandingan 4.1.3 (i) Peraturan Pertandingan Liga M 2013-2016, kelab memerlukan sokongan persatuan bola sepak negeri sebagai syarat penyertaan.