Pemain sayap antarabangsa Singapura, Muhammad Faris Ramli, menyifatkan keinginan menyahut cabaran baru dengan PKNS FC di bawah kendalian Datuk K. Rajagobal sebagai daya tarikan utamanya menyertai kelab itu dalam Liga Super musim ini.

Bekas pemain Home United FC dan LionsXII itu mengikat kontrak setahun dengan PKNS hari ini bersama penyerang skuad bawah 20 tahun Colombia, Ramon Morales Ramirez.

Selain menyahut cabaran baru bersama PKNS musim ini, Faris turut tertarik dengan pengurusan profesional dan prasarana yang terdapat di pusat latihan kelab itu.

"PKNS FC adalah kelab terbaik untuk saya kerana menempatkan ramai pemain muda yang dipilih jurulatih, Datuk K. Rajagobal.

"Insya-Allah, saya akan memberikan persembahan yang baik. Kita tengok nanti," katanya.

Faris sebelum ini turut membarisi skuad LionsXII yang muncul juara Liga Super pada musim 2013 dan juara Piala FA 2015 selain sudah membuat 34 penampilan antarabangsa bersama Singapura.

Ramirez pula beraksi bersama kelab Argentina, Banfield, sebelum ini.

Dalam pada itu, Rajagobal menyifatkan kemampuan dua pemain baru itu beraksi di beberapa posisi menyerang berbeza sebagai faktor yang memberikannya keyakinan untuk mengambil mereka.

"Keyakinan adalah yang diperlukan dalam pasukan, terutama ketika menyerang. Mungkin ia (menyerang) juga menjadi gaya permainan kami," kata Rajagobal.

PKNS musim 2018 di bawah bimbingan Rajagobal menampilkan barisan yang seimbang dengan suntikan pemain muda seperti Jafri Firdaus Chew dan tonggak berpengalaman, K. Reuben.