Gerard Pique berkata dia paling seronok bermain di laman lawan, di Espanyol dan Real Madrid, selepas membantu Barcelona meraih kemenangan menentang pesaing Catalan itu.

Juara bertahan LaLiga, Barca, meninggalkan Stadium RCDE dengan mata maksimum hasil kemenangan 3-0 menentang Espanyol, awal hari ini.

Luis Suarez menjaringkan dua gol pada babak kedua ketika Barca berada di puncak liga, walaupun Madrid mempunyai kelebihan satu baki perlawanan.

Pertahanan Sepanyol yang lantang itu -- menjadi sasaran peminat Espanyol sepanjang pertembungan -- amat berpuas hati dengan aksi mereka dalam laluan meraih kemenangan.

"Stadium ini, sama seperti Real Madrid, adalah paling menyeronokkan," kata Pique.

"Majoriti penyokong Espanyol sopan, tetapi selalu ada minoriti yang suka bergaduh.

"Mereka yang datang ke sini menjerit untuk melepaskan kekecewaan mereka dalam kehidupan.

"Saya hanya perlu kekal fokus pada perlawanan itu."

Pique berkata: "Kami bermain perlawanan yang hebat, kami mengawal keadaan sehingga 1-0. Lazimnya, kami mendapat hasil yang positif di sini dan kami berjaya melakukannya sekali lagi.

"Ia tidak pernah mudah kerana mereka sentiasa mahu merosakkan musim kami, tetapi keputusan membuktikan kami lebih unggul."