Gerard Pique membidas kritikan terhadap Barcelona susulan keajaiban kebangkitan mereka dalam Liga Juara-Juara, khususnya kepada bekas jurulatih, Arrigo Sacchi dan Raymond Domenech.

Barca di ambang penyingkiran dalam pusingan 16 buat kali pertama sejak 2007 dengan memadam defisit 4-0 dalam pertemuan pertama untuk gergasi Sepanyol itu mengejutkan Paris Saint-Germain (PSG) 6-1, sekaligus mara dengan agregat 6-5.

Bekas jurulatih AC Milan, Sacchi, mendakwa Barca telah kehilangan rentak dan prinsip berikutan kekalahan di Paris bulan lalu, sementara bekas jurulatih Perancis, Domenech, berkata juara bertahan LaLiga itu berada dalam bayang-bayang sendiri sebagai sebuah pasukan yang pernah mendominasi Eropah dengan mengkritik Lionel Messi dan Andres Iniesta.

Selepas membantu Barca menyempurnakan kebangkitan paling hebat dalam sejarah Liga Juara-Juara, pemain pertahanan Sepanyol bersuara lantang itu mengecam mereka yang meragui Barca.

"Ia adalah pencapaian yang belum pernah dilakukan dalam sejarah," kata Pique.

"Kebangkitan ketika menentang Gothenburg tidaklah sebesar ini, begitu juga dengan gol Iniesta (ke atas Chelsea) atau pun gol Bakero di Kaiserslautern. Ini adalah kebangkitan paling hebat. Tiada tandingannya.

"Ramai yang cuba mengambus (peluang) kami -- jurulatih seperti Sacchi dan Domenech.

"Satu hari nanti kami akan turun takhta, tapi kami masih di sini.

"Kepada mereka yang tidak mahu melihat kami mara tidak akan melalui hari yang baik tapi sentiasa ada sinar menerangi kami."

Suasana menjadi huru-hara baik di atas padang mahu pun di tempat duduk penonton selepas Sergi Roberto menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-95 di Nou Camp.

Neymar menyempurnakan sepakan percuma pada minit ke-88 dan penalti pada masa kecederaan selepas jaringan Edinson Cavani ketika perlawanan melewati sejam permainan, membuat kedudukan semasa 3-1 -- situasi itu semakin meruncing kerana Barca memerlukan tiga gol untuk lolos ke suku akhir.

"Ketika 3-1, ia sangat rumit, tapi keajaiban muncul. Pada minit ke-87, penyokong boleh meninggalkan stadium.

"Tetapi tidak. Mereka berdiri teguh bersama pasukan dan usaha itu berbaloi.

"Saya tidak mahu lagi menambah tekanan dengan mengatakan kami mahu memenangi 'treble'. Kami adalah satu-satunya pasukan di negara ini yang pernah meraih pencapaian ini," tambahnya.