Walaupun gagal mengulangi kejayaan di Jakarta 2011, pingat perak dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dilihat sebagai pencapaian yang boleh dibanggakan selepas tersingkir pada peringkat kumpulan di Singapura 2015.

Jurulatih skuad bawah 22 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee, menyuarakan terdapat beberapa perkara yang menjadi keutamaan selepas mengharungi saingan Sukan SEA kali ini.

"Ketika aksi sulung bertemu Brunei, pemain-pemain agak tertekan kerana beraksi di laman sendiri dan kemenangan merupakan sasaran utama dan mereka berjaya memberikan yang terbaik.

"Dalam aksi kedua berdepan Singapura, mereka menyedari bahawa jika Malaysia gagal meraih kemenangan, ia akan menyukarkan jalan untuk mara ke pusingan seterusnya dan mereka telah memberikan tentangan yang hebat," katanya dalam temubual Nadi@1 hari ini.

Menerapkan formasi 3-4-3, Kim Swee mendedahkan beliau menyaksikan gaya permainan yang dipamerkan oleh kelab England, Queens Park Rangers, untuk dijadikan sebagai panduan.

"Saya telah ke England untuk menyaksikan persembahan QPR, terdapat beberapa formasi yang boleh digunakan kerana kualiti yang dimiliki oleh pemain-pemain saya," katanya.

Selepas tamat Sukan SEA, Kim Swee turut menjelaskan bahawa sasaran yang harus diletakkan oleh pemain-pemainnya adalah untuk terus memperbaiki kelemahan serta memasang impian untuk beraksi di luar negara.

"Saya menasihatkan kepada setiap pemain untuk terus memberikan fokus bagi mempertingkatkan mutu permainan dan berusaha mendapatkan tempat beraksi di luar negara."