MYANMAR 3 KEMBOJA 1

Pasukan tuan rumah, Myanmar meraih tiga mata berharga apabila menundukkan Kemboja 3-1 dalam aksi Kumpulan B, Piala Suzuki AFF 2016, sebentar tadi.

Myanmar dan Kemboja masih belum meraih sebarang mata sebelumnya dan pertemuan ini amat penting buat kedua-dua pasukan untuk terus bernafas dalam kempen Piala Suzuki kali ini.

Kemboja, yang mempamerkan aksi mantap pada awal permainan, membuka tirai jaringan pada minit ke-15 menerusi Sos Suhana.

Gol itu menyemarakkan semangat Kemboja sementara Myanmar mengorak langkah untuk mencari gol penyamaan.

Beraksi di laman sendiri memberikan kelebihan buat Myanmar yang mendapat sokongan padu daripada penyokong yang hadir, mula mengasak kubu Kemboja.

Gol penyamaan muncul pada minit ke-36 menerusi Zaw Min Tun yang dilihat bakal menghantui kubu pertahanan Malaysia pada Sabtu nanti.

Myanmar menggandakan jaringan pada minit ke-40 hasil tandukan Min Tun untuk menewaskan penjaga gol, Sou Yaty.

Bersambung babak kedua, Myanmar meneruskan aksi cemerlang dan kali ini giliran Aung Thu pula memainkan peranan dalam menjaringkan gol ketiga tuan rumah.

Kemboja cuba bangkit, namun sudah terlambat dan terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada kempen Piala Suzuki.