Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B. Sathianathan, optimis skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee mampu melepasi halangan Vietnam dalam aksi Kumpulan B petang ini untuk mencerahkan laluan ke separuh akhir Piala Suzuki AFF.

Selepas menyaksikan aksi Vietnam dan Malaysia dalam perlawanan pertama masing-masing -- Malaysia menundukkan Kemboja 3-2 manakala Vietnam mengalahkan Myanmar 2-1 -- Sathianathan percaya Kim Swee mempunyai ramuan mencukupi untuk menjerat lawan.

Bagi Sathianathan, pendekatan taktikal secara berdisiplin di bahagian benteng dan kepantasan pemain negara mampu memberikan keputusan positif yang diharapkan.

"Kalau Vietnam diberi ruang di bahagian pertahanan, memang mereka nampak kuat.

"Tapi jika kita pilih satu taktik yang berkesan serta menggunakan kepantasan dalam mengatur serangan dengan betul, kita boleh meraih satu atau tiga mata," kata bekas jurulatih kebangsaan itu.

Sathianathan turut menyaksikan aksi persahabatan Myanmar-Oman di Yangon baru-baru ini dan berasakan pendekatan sama wajar dilakukan barisan negara.

Bekas pengendali ATM itu juga berasakan skuad negara tidak harus tertekan ketika berdepan Vietnam dan Myanmar selepas berjaya meraih kemenangan ke atas Kemboja dalam aksi sulung.

"Kita sudah mencapai misi tiga mata.

"Kalau kita memungut dua mata lagi, sudah pasti kita akan layak ke separuh akhir.

"Pemain perlu mengikut arahan dan menunjukkan semangat seperti ketika menentang Kemboja. Oleh itu, saya yakin kita akan pergi jauh."