Skuad negara berjaya menamatkan badi enam tahun tanpa kemenangan dalam aksi pembukaan Piala Suzuki AFF 2016 setelah menewaskan Kemboja 3-2 pada Ahad.

Namun, adakah anak buah Datuk Ong Kim Swee mempamer aksi memuaskan?

Di atas kertas, Malaysia diramalkan menang mudah, namun sebaliknya yang berlaku apabila skuad kendalianKim Swee terpaksa bangkit dua kali sebelum melakar kemenangan.

Jelas, wujud kelompongan di bahagian tertentu, terutama bahagian pertahanan yang dihukum dua kali oleh penyerang lincah Kemboja, Chan Vathanaka.

Kim Swee turut mengakui barisan pertahanan -- yang ditubuhkan Matthew Davies, Shahrom Kalam, Shahrul Saad dan Rizal Ghazali -- perlu diperkemaskan.

"Kami bolos berdepan Papua New Guinea, Afghanistan dan kini Kemboja, jadi sudah tentu kami perlu fokus dalam memastikan jentera pertahanan lebih ampuh," jelasnya.

Jentera tengah -- Baddrol Bakhtiar dan Irfan Fazail -- turut tidak mampu menguasai hantaran bola, namun gandingan Amri Yahyah dan Syazwan Zainon di bahagian sayap jelas membuahkan hasil apabila kedua-dua pemain berjaya mencatat nama selaku penjaring.

"Tugas menjaringkan gol bukan terletak di bahu pemain penyerang sahaja tetapi juga kombinasi di antara pemain juga amat penting dalam menghasilkan jaringan," tambahnya.

Sementara itu, pemerhati bola sepak negara, Asmawi Bakiri, melihat apa yang berlaku dalam perlawanan di antara Malaysia dan Kemboja bukan fokus utama.

"Bagi saya, apa yang penting skuad negara menang dan mengutip tiga mata. Aspek lain seperti gol kontroversi dan kesilapan pemain harus diletak tepi terlebih dahulu," ujarnya.

Bagi penolong jurulatih skuad B-22, Aminuddin Hussin, aksi pemain negara harus diberikan pujian.

"Permulaan yang baik buat skuad negara dan saya nampak adanya keserasian dan peningkatan permainan berbanding perlawanan sebelum ini."