Penyerang B-18 tahun negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak, bertekad menjadi penjaring terbanyak Kejohanan Piala Sanix di Fukuoka, Jepun, dalam usaha mendapatkan sentuhan terbaik sebelum menghadapi Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-19 di Indonesia, Oktober depan.

Hadi adalah antara dua pemain skuad B-18 yang mewakili negara dalam pusingan kelayakan Kejohanan AFC B-19 di Paju, Korea Selatan, November tahun lalu.

Menjadi sandaran utama pengendalinya Bojan Hodak, penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) III itu kini dalam persediaan ke pusingan akhir kejohanan pada Oktober.

Justeru, Hadi mahu memanfaatkan sepenuhnya cabaran Piala Sanix untuk mendapatkan prestasi terbaik selain membantu pasukan mencipta kemenangan.

"Kejoihanan ini cukup bagus untuk pemain muda. Ia mampu memberi pengalaman bermain di luar negara.

"Saya menyasarkan untuk muncul penjaring terbanyak dan memberikan aksi terbaik," katanya.

Selain Hadi, turut berada dalam radar Hodak untuk dipilih membarisi skuad B-19 negara ialah penyerang Kuantan FA, Arif Shaqirin Suhaimi.

Bakal membentuk gandingan bersama Hadi di Fukuoka nanti, Shaqirin juga mahu menampilkan aksi luar biasa dalam usahanya memikat Hodak.

"Insya-Allah kalau saya memberikan komitmen terbaik, jurulatih akan memilih saya," kata Arif.