Kapten dan penyerang skuad bawah 18 tahun negara, Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak, mempamerkan semangat tidak putus asa sebelum merakam gol kemenangan 2-1 berdepan Sekolah Tinggi Maebashi Ikuei dalam perlawanan pertama Piala Sanix di Fukuoka, Jepun, hari ini.

Pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu mengakui dia dan rakan sepasukan sedikit tertekan apabila gagal memulakan perlawanan dengan baik.

Dia mensia-siakan deretan peluang pada hujung babak pertama dan awal babak kedua, bagaimanapun dia tetap muncul wira dengan menjaringkan gol dalam masa kecederaan menentang lawan itu.

"Dalam separuh masa pertama, gol itu tidak datang lagi. Saya terus mencuba sedaya-upaya dan memberi 100 peratus. Bukan rezeki saya untuk menjaringkan gol dalam babak pertama.

"Tetapi, Alhamdulillah, saya bangkit dengan menjaringkan gol terakhir. Saya mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan dan jurulatih kerana memberikan 100 peratus dalam perlawanan ini dan memberi kemenangan kepada kita semua," ujarnya.

Bagi pemain kelahiran Tanjung Malim itu, dia yakin kemenangan pertama dalam kejohanan itu memberi motivasi penting sebelum aksi kedua berdepan FC Tokyo.

"Memang perlawanan itu agak sukar tetapi apa-apa pun kami akan memberikan yang terbaik dan dalam bola sepak ini, tiada apa yang mustahil. Bola itu bulat. Saya harap kami boleh mencapai kemenangan," katanya lagi.