TFC III 1 JDT III 0
(TFC III mara dengan agregat 1-0)

Jaringan tunggal pada minit ke-120 memastikan kemaraan naib juara 2017, Terengganu FC (TFC) III, ke final Piala Presiden selepas mengatasi Johor Darul Ta'zim (JDT) III 1-0 secara agregat, sebentar tadi.


Dalam aksi separuh akhir kedua di Kuala Terengganu itu, tuan rumah bermula garang dengan gerakan Mohammad Ridzuan Razali pada minit ke-10 pantas dihidu Mohamad Raimi Syahir yang merembat kencang, namun tinggi melepasi sasaran.

Menyedari hanya kemenangan akan menjamin slot dua pasukan terbaik, TFC III terus agresif menyaksikan sepakan percuma pemain gantian, Amirul Syazwan Nor Azmi, pada minit ke-18 menggegar palang gol pelawat.

Skuad JDT III kendalian Gonzalo Zaballos itu memperkemaskan rentak dan tandukan kapten, Mohamad Hariz Kamarudin, pada minit ke-38 hampir menerjah jaring ketika penjaga gol lawan sudah tertewas.

Pelawat meningkatkan tekanan pada babak kedua melalui percubaan lencong Muhammad Ramadhan Saifullah tetapi ditepis keluar Mohamad Shafawi Mohamad pada minit ke-58.

Kebuntuan jaringan mengheret perlawanan ke masa tambahan dengan percubaan pertahanan JDT III, Muhammad Izzafiq Ruzi (m-92), serta rembatan pemain gantian tuan rumah, Khairil Nizam Kamaruddin (m-107), dinafikan kedua-dua penjaga gol.

Kesilapan komunikasi penjaga gol JDT III, Mohamad Ikram Nasiran, serta pertahanannya menyaksikan dia tertumbuk bola ke gawang sendiri berpunca daripada sepakan percuma Amirul Syazwan, sekali gus menghadiahkan kemenangan kepada TFC III.

Gelaran juara akan ditentukan 29 Ogos ini di Cheras apabila menemukan TFC III dan Kedah, yang mara selepas mengatasi Felda United dengan keputusan agregat 4-2.