Piala Presiden: Negeri Sembilan teruskan rentak kemenangan

By Staff Writer 9 March 2017
Piala Presiden: Negeri Sembilan teruskan rentak kemenangan
Negeri Sembilan meneruskan rentak kemenangan mereka dalam saingan Kumpulan B Piala Presiden apabila menundukkan Sabah 2-1 di Stadium Likas, Kota Kinabalu, hari ini.

Sabah lebih dulu memiliki peluang baik pada minit kelapan menerusi sepakan percuma Muhd Zaki Sapri, tetapi percubaannya sekadar menyinggahi palang pasukan pelawat.

Pada minit ke-16, Negeri Sembilan pula mencemaskan pintu gol tuan rumah hasil percubaan voley G. Durrkeswaran dari luar kotak penalti, bagaimanapun, ia terus ke dakapan penjaga gol tuan rumah, Masran Masri.

Pelawat kemudian memperolehi gol pendahuluan pada minit ke-28 hasil tandukan baik Sean Eugene Selvaraj yang gagal dijangkau Masran.

Pada minit ke-42, Sabah hampir menyamakan kedudukan hasil rembatan Fazriel Hanafi Stepanus di dalam kotak penalti, malagnnya tiang sekali lagi menjadi penyelamat Negeri Sembilan dan kedudukan 1-0 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Selepas rehat, pelawat terus garang apabila meledak gol kedua juga hasil jaringan Sean Eugene pada minit ke-49 bagi menjadikan kedudukan 2-0.

Permainan kemudian terus dikuasai pelawat yang sering mencemaskan kubu tuan rumah, bagaimanapun, barisan pertahanan Sabah berjaya mengekang asakan bertali arus mereka.

Sabah yang sekali sekala melancarkan serangan memiliki peluang pada minit ke-68 hasil sepakan percuma Mohd Azmizan Ruslih, namun, percubaannya diselamatkan penjaga gol lawan.

Selepas itu, Fazriel Hanafi Stepanus menghidupkan peluang Sabah apabila berjaya menyumbat gol pertama pada minit ke-72 bagi menjadikan kedudukan 2-1.

Jaringan itu ternyata menyuntik semangat skuad muda Badak apabila mereka kembali menguasai permainan menerusi beberapa serangan bahaya.

Bagaimanapun, beberapa peluang yang dimiliki gagal diterjemah kepada jaringan dan kedudukan 2-1 itu kekal sehingga tamat permainan.

Kemenangan itu adalah yang ketiga buat Negeri Sembilan dalam tiga perlawanan mereka dalam kumpulan B, setakat ini.
 

About Author

Staff Writer

Comment