Pahang menamatkan edisi sulung Kejohanan Empat Penjuru Piala Menteri Besar Terengganu dengan kemenangan 2-1 ke atas Terengganu FC (TFC) II di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam ini.

Awal permainan menyaksikan skuad Tok Gajah menguji kubu tuan rumah melalui dua sepakan percuma Phillip Hellquist (m-11) dan Safuwan Baharudin (m-17) yang gagal menepati sasaran.

Tonggak import, Mohamadou Sumareh, menjaringkan gol pembukaan Pahang pada minit ke-34 sebelum Norshahrul Idlan Talaha menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-40.

Lima minit selepas rehat, skuad bimbingan Dollah Salleh terus garang dan Chan Vathanaka hampir menyumbang gol ketiga, namun sepakannya pada minit ke-50 melencong ke sebelah kanan.

Kemasukan Akanni Sunday Wasiu meningkatkan bisa TFC II dan penyerang baru itu menyudahkan sepakan penalti pada minit ke-78, malangnya sudah terlewat menghalang kemenangan Pahang.

Keputusan itu, bagaimanapun, gagal meletakkan Pahang antara dua pasukan terbaik selepas tewas dua perlawanan terdahulu.

Dalam aksi berasingan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, TFC mudah membenam cabaran Melaka United (MU) 5-0 untuk menjadi pasukan pertama ke final, Sabtu ini.

MU akan berentap dengan TFC II dalam perlawanan terakhir kumpulan pada Jumaat untuk menentukan satu lagi slot di pentas final.