Skuad Malaysia Warrior melakar sejarah di Osaka, Jepun, apabila menjuarai Kejohanan Piala Global Yakult B-12 2019, sekali gus menjadi hadiah sempena Hari Malaysia.

Dalam aksi final di Pusat Latihan Bola Sepak J Green Sakai, hari ini, skuad cilik negara melakar kemenangan 2-0 ke atas kelab Jepun, Ventforet Kofu.

Ahmad Zamil Zaqwan Samsulkama membuka tirai jaringan dalam babak kedua, disusuli gol Muhammad Amir Asyraaf Yusnizam selepas itu.

Sebelum itu, Malaysia Warrior tampil bergaya apabila merekodkan empat kemenangan dan hanya tewas sekali dalam saingan di peringkat kumpulan.

"Alhamdulillah, kami muncul juara. Saya memang ada menaruh harapan dan kami dapat tunaikannya," kata ketua jurulatih, Mohd Redzuan Mustapa.

Sementara itu, satu lagi wakil negara, Malaysia Tiger, menamatkan saingan di tangga ke-13 hasil kejayaan membenam Tottori FC dalam perlawanan penentuan tempat ke-13 dan 14.