SIME DARBY 3 SHAHZAN MUDA 0

Sime Darby FC mara ke pusingan kedua Piala FA selepas menewaskan Shahzan Muda FC 3-0 di Stadium Selayang, hari ini.

Sime Darby yang turun sebagai pasukan tuan rumah, memulakan perlawanan dengan agresif dalam usaha meraih jaringan awal.

Usaha skuad itu berhasil apabila Mohd Zulfahmi Awang berjaya menemui sasaran pada minit ke-20 yang berpunca daripada kesilapan penjaga gol Shahzan Muda, Mohd Wafiyuddin Samsudin.

Selepas itu, tuan rumah memiliki beberapa peluang gol pada penghujung separuh masa pertama tetapi gagal disempurnakan jentera serangannya.

Seminit selepas rehat, Sime Darby meraih gol kedua dan kali ini menerusi Dzulfahmi Abdul Hadi.

Belum sempat pasukan pelawat bangkit, Sime Darby terus menemui gol ketiga pada minit ke-54 menerusi Saiful Hasno Mohd Raffi yang menyudahkan umpanan Dzulfahmi.