Penyerang import Sang Badak, Jonathan Behe, dilaporkan kembali cergas dan sedia untuk diturunkan dalam perlawanan suku akhir pertama Piala FA bertemu Negeri Sembilan di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabtu ini.

Pengendali pasukan, Jelius Ating, berkata pemain berasal dari Perancis itu telah kembali menjalani latihan bersama pasukan itu sejak beberapa hari lalu selepas terpaksa diketepikan dalam dua perlawanan akibat kecederaan hamstring.

"Dia (Behe) kembali menjalani latihan bersama pasukan sejak beberapa hari lalu. Ini sesuatu yang baik untuk pasukan, terutama dalam kami melakukan persiapan untuk perlawanan Sabtu ini," katanya ketika ditemui dalam sesi latihan pasukan di Stadium Likas, semalam.

Jelius yang mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih daripada Steve Vilmiaire, minggu lalu, berkata beliau juga telah bersemuka dengan Behe untuk mendapatkan reaksinya terhadap keadaan pasukan ketika ini.

"Behe memberitahu dia tidak mempunyai masalah dan bersedia untuk membantu pasukan walaupun sebelum ini dia dibawa masuk oleh jurulatih terdahulu," katanya.

Sementara itu, pengendali berusia 46 tahun itu turut gembira dengan perkembangan pemain tengah dari Jepun, Matsaya Jitzono, yang dilihat semakin menunjukkan komitmen baik bersama skuadnya.

"Selain itu, kami juga menyambut semula kehadiran pemain pertahanan, Igor Cerina, yang semakin cergas untuk perlawanan bertemu Negeri Sembilan nanti," katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Jelius turut berkata beliau akan mengadakan sesi pertemuan dengan seorang lagi pemain import, Sofiane Choubani, yang tiba di Kota Kinabalu, malam tadi, selepas bercuti.