Tuan rumah, PKNP FC, yakin akan terus unggul dalam saingan Piala FA apabila berdepan Kuantan FA dalam pusingan ketiga di Ipoh malam esok.

Namun, ketua jurulatih PKNP, Abu Bakar Fadzim, tetap berwaspada walaupun pelawat pernah mereka temui dalam saingan Liga Perdana.

"Ya, kami pernah bertemu dan menang 2-0 tetapi itu tidak bermaksud kami memandang mudah cabaran esok.

"Angin perlawanan liga dan Piala FA berbeza.

"Saya pasti Kuantan FA akan turun dengan semangat baru esok.

"Seperti juga ketika kami bertemu Kelantan dalam pusingan kedua lalu. Kelantan adalah pasukan pilihan tetapi semangat juang kami yang membezakannya.

"Tidak dinafikan selepas menewaskan Kelantan, PKNP kini nyata lebih berbeza.

"Anak-anak muda saya lebih berkeyakinan dan dahagakan kemenangan," katanya.

Beliau juga berharap pemain import, Gilberto Fortunato, bebas daripada kecederaan dan boleh bermain esok.