Eden Hazard berasakan bahawa kejayaan menjulang Piala FA mampu menyelamatkan musim malang Chelsea selepas prestasi yang merudum dalam saingan Liga Perdana Inggeris 2017/18.

Skuad kendalian Antonio Conte itu terus mencicirkan mata apabila sekadar seri 1-1 dengan West Ham United di Stamford Bridge pada tengah malam kelmarin, sekali gus membuatkan harapan ke saingan Liga Juara-Juara Eropah musim depan semakin samar.

The Blues kini ketinggalan 10 mata di belakang skuad di tangga keempat, Tottenham, sambil aksi liga hanya berbaki enam perlawanan dan Chelsea hanya memenangi tiga daripada 11 aksi pada tahun ini.

Mereka bakal bertandang ke Southampton dan Burnley selepas ini, sebelum sekali lagi berdepan The Saints untuk separuh akhir Piala FA di Wembley pada 22 April ini.

"Saya berharap, untuk peminat-peminat dan kami sendiri, semua pemain dapat meraih sesuatu.

"Kami masih ada Piala FA untuk dikejar, jadi kami harus membawa trofi itu ke Stamford Bridge pada akhir musim ini," kata Hazard.

Bagaimanapun, pertahanan Chelsea dari Sepanyol, Cesar Azpilicueta, yang turut membintangi skuad yang memenangi kejuaraan liga pada musim 2014/15 sebelum berada di tangga ke-10 pada musim berikutnya, menyifatkan penurunan prestasi pasukannya berbanding musim lalu tidak boleh diterima.

"Piala FA adalah saingan yang tinggi, mempunyai banyak sejarah tetapi masih belum cukup buat kami.

"Kami akan cuba memenanginya, namun ia tidak mampu menyelamatkan musim kami.

"Untuk mendapatkan undian laman sendiri dalam satu lagi aksi setempat London agak mengecewakan buat kami dan semua penyokong. Kami tidak gembira," ujar Azpilicueta.