Dua pasukan teratas Liga Perdana Inggeris akan berdepan sesama sendiri dalam separuh akhir Piala FA selepas Chelsea diundi menghadapi Tottenham.

Chelsea mengesahkan tempat dalam kelompok empat terakhir dengan kemenangan 1-0 ke atas juara bertahan, Manchester United di Stamford Bridge hasil percubaan jauh N'Golo Kante, awal pagi tadi.

Ketika kedua-dua pasukan kali terakhir bertemu Januari lalu, Spurs yang mencari trofi utama pertama sejak 2008, yang unggul dengan menamatkan rentetan kemenangan Chelsea dalam 13 perlawanan berturut-turut.

Satu lagi separuh akhir akan menyaksikan Arsenal kendalian Arsene Wenger berdepan Manchester City, dengan kedua-dua perlawanan berlangsung di Wembley pada 22 dan 23 April.

Buat Arsenal – yang telah memenangi samaan rekod 12 kejuaraan Piala FA dan menamatkan cerita dongeng kemaraan Lincoln City, Sabtu lalu – ia mewakili satu peluang hebat untuk mengesahkan satu trofi, yang mampu membantu mengendurkan tekanan terhadap Wenger selepas keaiban mereka di tangan Bayern Munich dalam Liga Juara-Juara.

City memenangi perlawanan terakhir dengan The Gunners, dengan Leroy Sane dan Raheem Sterling membantu mereka bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menang Disember lalu.