PDRM memastikan kemenangan 3-2 ke atas Kedah dalam aksi pusingan pertama separuh akhir Piala Emas Raja-Raja, hari ini.

Hasrat besar kedua-dua pasukan untuk mencari bekalan selesa dalam aksi pertama timbal balik dikejutkan dengan jaringan awal PDRM.

Gol sumbangan Khairul Izwan Abdullah pada minit kelima membuatkan pasukan pelawat, Kedah, tersentak. Namun, mereka berjaya menyamakan kedudukan 10 minit kemudian menerusi Mohd Nabil Latpi.

PDRM kembali mendominasi kedudukan menerusi jaringan kedua yang disempurnakan Syazwan Kassim (m-30) sebelum Afzal Nazri menambah jaringan pada minit ke-40.

Memasuki babak kedua, Kedah cuba merapatkan kedudukan dan hasilnya, Fitri Za'aim Amran, meledak gawang tuan rumah selepas tiga minit permainan bersambung.

Asakan diteruskan kedua-dua pasukan, namun aksi 90 minit permainan berakhir dengan kelebihan memihak kepada PDRM.

"Saya memang gusar dengan cara Kedah bermain kerana berasakan mungkin ada suatu magis dalam pasukan Kedah.

"Saya mempunyai tempoh seminggu untuk memperbaiki kelemahan PDRM," ujar jurulatih PDRM, Eddy Gapil.

Bagi rakan sejawatannya di Kedah, Hussin Jaafar, anak buahnya gagal mempersembahkan corak permainan yang dikehendaki sehingga menjurus kepada kekalahan mereka.

"Terus terang saya katakan kami gagal mempamerkan rentak sebenar.

"Pemain-pemain gagal menyerap taktikal yang diterapkan, terutama semasa perlawanan suku akhir sebelum ini."

Kredit imej: Persatuan Bola Sepak Melayu Kedah (PBMK)