Alberto Zaccheroni tidak bimbang mengenai jentera serangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menjelang pertembungan pusingan 16 Piala Asia 2019 dengan Kyrgyzstan, tengah malam ini.

Tuan rumah, UAE, memimpin Kumpulan A biarpun hanya menang sekali, dengan India tersingkir melalui perbezaan jaringan setelah masing-masing mengumpul empat gol.

Salah satu daripada empat gol itu hadir menerusi sepakan penalti ketika mereka diikat Bahrain 1-1 dalam aksi pembukaan, namun Zaccheroni yakin pasukannya akan mencapai tahap yang lebih tinggi dalam pusingan kalah mati dan membuktikan bahawa mereka lebih berbahaya.

"Serangan kami tidak bergantung kepada seorang atau dua pemain, kami perlu mengatur gerakan dari belakang," kata jurulatih berbangsa Itali itu.

"Kami perlu mencipta peluang dengan mula melancarkan serangan dari kubu sendiri dan kesemua statistik dalam perlawanan terdahulu membuktikan kami menguasai perlawanan. Peratusan serangan kami juga lebih tinggi berbanding pasukan lain.

"Pemain saya sedang berusaha untuk meningkatkan prestasi mereka dan anda juga harus memahami bahawa pasukan yang kami tandingi memilih untuk bertahan."

Kyrgyzstan, yang membuat kemunculan pertama dalam kejohanan, layak ke pusingan 16 melalui jaringan hatrik Vitalij Lux ketika membenam Filipina dalam perlawanan terakhir Kumpulan C.

Pemain berusia 29 tahun itu, yang beraksi dalam divisyen keempat Jerman bersama kelab Ulm, percaya dia mampu mengulangi prestasi hebatnya di Stadium Bandar Sukan Zayed.

"Saya fikir saya boleh menyengat lagi. Saya telah menjaringkan gol dalam saingan Piala Jerman dan Piala Asia, kenapa saya tidak boleh mengulanginya?" kata Lux.

"Tugas saya adalah menjaringkan gol. Sebagai sebuah pasukan, kami juga mahu mencapai keputusan yang baik dalam perlawanan ini."