Jurulatih Korea Selatan, Paulo Bento, optimis rekod pasukannya dalam Piala Asia 2019 tidak akan tercalar apabila bertemu Bahrain untuk memburu tempat dalam suku akhir, malam ini.

Skuad kendalian Bento itu lolos daripada Kumpulan C dengan memenangi ketiga-tiga perlawanan tanpa melepaskan satu gol pun.

Filipina, Kyrgyzstan dan China kesemuanya gagal untuk menggugat pasukan pilihan itu biarpun pemain bintangnya, Son Heung-min, terlepas perlawanan awal.

Menuju fasa kalah mati, Bento sedar tekanan di pihaknya memandangkan kehadiran Heung-min dan kedudukan mereka dalam peta bola sepak Asia.

Bagaimanapun, dengan Korea kelihatan konsisten, jurulatih Portugis itu berasa gembira dengan peluang yang dimiliki mereka.

"Kami sedar bahawa kami adalah calon juara. Tetapi saya fikir kami bukanlah satu-satunya pasukan kegemaran dalam kejohanan ini," kata jurulatih itu.

"Ia sentiasa menjadi motivasi yang baik untuk memenangi kesemua perlawanan di peringkat kumpulan.

"Semua kemenangan yang kami capai adalah tanpa dibolosi, jadi ia menunjukkan konsistensi pasukan.

"Kami akan cuba ke peringkat seterusnya dengan menampilkan keyakinan yang sama dan melakukan yang terbaik untuk menjangkau suku akhir."

Walaupun Korea mudah ke pusingan 16, Bahrain pula terpaksa bergantung kepada slot salah satu daripada empat pasukan terbaik di tangga ketiga peringkat kumpulan untuk mara.

Sekiranya mereka tidak menjaringkan penalti pada saat-saat akhir dalam kemenangan 1-0 ke atas India, Selasa lalu, sudah tentu mereka akan pulang awal.

Jurulatih, Miroslav Soukup, mengakui pasukannya bernasib baik walaupun masih berada dalam saingan, namun mereka tidak berasa tertekan kerana tiada siapa yang menaruh harapan kepada mereka.

Biarpun ia dapat dilihat sebagai sesuatu yang baik, Soukup menegaskan bahawa dia mahu memastikan pemainnya meletakkan tekanan ke atas diri sendiri.

"Kami membangkitkan motivasi kepada diri sendiri kerana tiada pihak yang memberikan kami tekanan," kata Soukup kepada pemberita. "Pasukan saya telah bekerja keras.

"Kami memberi tekanan kepada diri sendiri, pemain saya dahagakan kejayaan untuk mencapai kemenangan dan mereka sudah bersedia.

"Selepas perlawanan terakhir kami menentang India, kami mempunyai tempoh selama enam hari untuk membuat persiapan, jadi kami tidak mengalami keletihan.

"Saya harap kami dapat mengulangi prestasi kami seperti ketika menentang India.

"Mungkin kami akan menghadirkan saingan hebat kepada Korea Selatan dan akan menjadikannya dramatik."