Carlos Queiroz berharap pasukan kendaliannya, Iran, dapat memadam episod duka empat tahun lalu ketika mereka bakal bertemu China dalam suku akhir Piala Asia di Emiriah Arab Bersatu (UAE), tengah malam ini.

Pasukan nombor satu Asia itu tidak pernah menjulang Piala Asia sejak 1976 dan dikecewakan negara jiran, Iraq, di peringkat sama di Australia pada 2015.

Queiroz menjelaskan penyingkiran melalui penentuan sepakan penalti itu memberikan kesan kepada pasukannya walaupun menyedari pusingan kalah mati akan mengurangkan jurang di antara setiap pasukan bertanding.

"Setiap perlawanan bola sepak berbeza.

"Setiap perlawanan mempunyai cerita yang berlainan.

"Perlawanan menentang China akan menjadi perlawanan yang baru, pengembaraan baru dan perlawanan yang kami akan cuba untuk menang.

"Bagaimanapun, kunci utamanya adalah memanfaatkan setiap pengajaran yang kami terima.

"Ia seperti perlawanan final memandangkan mereka tidak mempunyai sejarah dan tidak pernah layak sejauh ini.

"Perlawanan seperti ini pasti memberikan cabaran berbeza daripada apa yang pernah kami hadapi dalam
saingan peringkat kumpulan.

"Saya pasti pengalaman yang dimiliki pemain saya akan menjadi pemisah dalam perlawanan ini," kata Queiroz yang pasukannya tidak pernah tewas sepanjang kempen kali ini.

China bangkit untuk menewaskan Thailand 2-1 dengan pemain gantian, Xiao Zhi, menjaringkan gol penyamaan sebelum sepakan penalti Gao Lin memberikan kemenangan pasukan itu dalam pusingan 16.

Skuad kendalian Marcello Lippi itu pernah bertemu dengan Iran sebanyak dua kali dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2018 di mana mereka tewas sekali (0-1) dan seri sekali (0-0).

Pengendali veteran kelahiran Itali itu mengakui pasukannya akan berdepan cabaran daripada pasukan terbaik dalam kejohanan kali ini.

"Iran jelas merupakan pasukan terbaik Asia.

"Mereka membuktikannya dalam Piala Dunia lalu dan dalam kejohanan ini.

"Mereka memiliki fizikal yang kuat, teratur dan mempunyai kualiti yang tinggi.

"Berdasarkan itu, kami memerlukan strategi terbaik bagi memerangkap mereka," katanya.

China akan kembali menyenaraikan Wu Lei yang baru pulih daripada kecederaan bahu.

Mereka tewas kepada Korea Selatan dalam aksi terakhir peringkat kumpulan, namun Lippi menegaskan pasukannya telah melakukan persediaan secukupnya.

"Kami berusaha keras untuk memperbaiki setiap kesalahan yang dilakukan.

"Saya yakin kami sudah bersedia untuk menempuhi aksi paling sukar ini," tambahnya.