Ketua jurulatih Jepun, Hajime Moriyasu, masih bersabar dalam kempen Piala Asia 2019 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan menunggu waktu yang sesuai untuk pasukannya kembali "mengaum".

Skuad Samurai Biru itu mengekalkan rekod bersih dengan empat kemenangan selepas meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Arab Saudi bagi menempa laluan ke suku akhir untuk bertemu pasukan 'kuda hitam', Vietnam.

Walaupun mengakui pasukannya hanya memiliki kelebihan satu gol dalam setiap kemenangan, Moriyasu mendedahkan mereka kini sedang berusaha untuk menangani isu itu.

"Jepun sudah layak ke suku akhir dan kami menyasarkan untuk meraih kejuaraan.

"Namun, kami memerlukan peningkatan segera memandangkan pasukan ini dibarisi pemain muda yang kurang pengalaman.

"Kami melepasi setiap perlawanan dengan mengambil setiap pengajaran daripada kesalahan yang dilakukan.

"Kami tahu Vietnam akan memberikan cabaran yang sukar, namun kami akan melakukan yang terbaik dan memanfaatkan keyakinan daripada empat kemenangan lalu," katanya menjelang perlawanan suku akhir, malam ini, tanpa penglibatan penyerang Newcastle United, Yoshinori Muto, yang digantung perlawanan.

Pertahanan Vietnam, Luong Xuan Truong, menyasarkan satu lagu kejutan daripada pasukannya selepas skuad kendalian Park Hang-seo itu membenam Jordan menerusi penentuan penalti dalam pusingan 16.

"Kami amat gembira kerana telah mencipta sejarah baru bola sepak Vietnam," katanya kepada AFC.com.

"Perlawanan menentang Jordan amat luar biasa.

"Saya berharap kami dapat melakukannya sekali lagi untuk mencipta satu lagi sejarah baru buat Vietnam," katanya.

Vietnam telah memenangi tiga penentuan penalti terakhir dengan Xuan Truong tidak pernah gagal menemui sasaran.

"Saya berasakan kami tidak boleh berkata apa-apa tentang penentuan penalti memandangkan kami tidak tahu apa yang akan terjadi dalam setiap perlawanan.

"Kami lebih bernasib baik berbanding Jordan, itu yang menjadi pemisah di antara kedua-dua pasukan," tambahnya.