Juan Antonio Pizzi mengumumkan peletakan jawatannya selepas 14 bulan mengemudi Arab Saudi berikutan pasukannya tersingkir dalam Piala Asia 2019 di tangan Jepun.

Bekas pengurus Valencia dan Chile berusia 50 tahun itu menyaksikan jaringan tunggal Takehiro Tomiyasu di Stadium Sharjah malam tadi memusnahkan impian Arab Saudi untuk menjulang trofi itu buat kali keempat.

Skuad kendalian Pizzi itu menduduki tempat kedua Kumpulan E untuk mencapai pusingan 16, namun bola sepak konservatif yang diterapkannya dalam awal kempen mengundang kritikan.

Pizzi memberitahu pemberita: "Saya gembira dan berterima kasih kepada barisan pemain saya, mereka telah melakukan apa yang saya minta.

"Sudah tentu, kami melakukan beberapa kesilapan tetapi kami akan belajar daripadanya.

"Tugas saya dengan pasukan kebangsaan ini sudah selesai, tiada siapa yang bercakap dengan saya mengenai pembaharuan kontrak.

"Saya masih belum tahu tentang cabaran seterusnya."

Pizzi meninggalkan rekod mengecewakan sebagai jurulatih Arab Saudi selepas membimbing pasukan itu mencatat empat kemenangan dalam 10 perlawanan kompetitif.

Dia mencuri perhatian apabila membantu Arab Saudi mencipta kemenangan 2-1 ke atas Mesir dalam Piala Dunia 2018 di Russia selain kemenangan berturut-turut di peringkat kumpulan Piala Asia 2019 yang memberi harapan kepada pasukannya untuk mara lebih jauh.

Mengenai kekalahan kepada Jepun, Pizzi menambah: "Pemain tidak mengecewakan saya dalam kempen Piala Asia ini.

"Kita tidak boleh mengetepikan fakta bahawa kami menentang salah sebuah pasukan terbaik di Asia dengan kebanyakan pemain mereka beraksi dalam liga Eropah.

"Kami memilih pemain terbaik yang sesuai untuk mewakili pasukan. Saya berpuas hati dengan mereka sepanjang kejohanan ini dan mereka memberi komitmen daripada segi strategi dan strategi teknikal."