CHINA 2 THAILAND 1

China mengekalkan impian Marcello Lippi menjulang Piala Asia selepas mereka bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Thailand 2-1 sebentar tadi, sekali gus menempatkan diri dalam pusingan suku akhir.


Supachai Jaided membuka tirai jaringan buat Thailand di Stadium Hazza Bin Zayed selepas China bergelut menangani corak permainan pantas lawan, namun skuad Gajah Perang itu mula kehabisan tenaga dalam babak kedua perlawanan.

Perlawanan memihak kepada China bermula empat minit selepas perlawanan bersambung dalam babak kedua apabila pemain gantian, Xiao Zhi, menyamakan kedudukan sebelum Gao Lin menyempurnakan sepakan penalti.

Skuad kendalian Lippi itu dilihat menuju ke pintu keluar kejohanan kali ini, namun kebangkitan mereka menyingkirkan Thailand dapat dilihat menerusi keazaman pasukan untuk melakar kemenangan.

Wu Lei menguji Sivarak Tedsungnoen, menerusi percubaan jarak dekat, namun penjaga gol itu berjaya menepisnya keluar sementara sepakan percuma Theerathon Bunmathan turut menguji kebolehan penjaga gol China, Yan Junling.

Jaringan Jaided terhasil apabila hantaran Pansa Hemviboon berjaya disempurnakan oleh penyerang Buriram United itu yang berpusing untuk menyudahkan sepakan jarak dekatnya.

Hantaran silang Hao Junmin kemudian berjaya mencari Yu Dabao yang melakukan tandukan, namun usaha China mencari gol penyamaan sebelum tamat separuh masa pertama hanya berakhir dengan kekecewaan.

Kualiti barisan pemain China mula terserlah ketika mereka melancarkan serangan demi serangan ke arah kubu pertahanan Thailand selepas permainan bersambung dalam babak kedua.

Ketika perlawanan berbaki 25 minit, Zhi melakukan tandukan yang berjaya ditampan Sivarak tetapi pemain gantian itu bingkas untuk menampan masuk lantunan untuk jaringan penyamaan China.

Sebelum Thailand kembali mencari rentak, sepakan penalti dihadiahkan kepada China pada minit ke-71 selepas Chalermpong Kerdkaew menjatuhkan Lin dan penyerang itu tidak menghadapi sebarang masalah untuk memastikan China mendahului, sekali gus memastikan kemenangan buat skuad pimpinan Lippi itu.