Srecko Katanec mengharapkan "cabaran besar" daripada pasukannya, Iraq, yang akan berdepan Qatar dalam pusingan 16 Piala Asia 2019, namun memberi amaran kepada pihak lawan bahawa rekod mereka yang mengagumkan di peringkat kumpulan bukanlah ukuran.

Qatar layak ke pusingan kalah mati dengan rekod sempurna dalam saingan Kumpulan E selepas mengatasi Lubnan, Korea Utara dan Arab Saudi.

Skuad kendalian Felix Sanchez itu menjaringkan 10 gol sambil memastikan pintu gol mereka kebal dengan hanya membenarkan pasukan lawan membuat tiga percubaan tepat sepanjang proses itu -- catatan yang rendah berbanding pasukan lain.

Iraq pula menamatkan saingan kumpulan di tangga kedua dengan memungut enam mata atas kejayaan membenam Vietnam dan Yaman sebelum diikat seri tanpa jaringan dengan Iran -- yang meraih tempat teratas untuk mengadakan pertemuan dengan China.

Selepas melihat Jordan -- sebuah lagi pasukan dengan rekod pertahanan sempurna selepas tiga perlawanan -- dihantar pulang oleh Vietnam menerusi penentuan penalti, ketua jurulatih Iraq, Katanec, menegaskan segalanya berkemungkinan.

"Prestasi kami dalam keadaan bagus tetapi kami perlu merendah diri ketika menentang Qatar," katanya dalam sidang media.

"Jordan turun bertemu Vietnam tanpa dibolosi satu gol pun tetapi jaringan pertama yang dilepaskan sudah cukup untuk menyingkirkan mereka daripada kejohanan ini.

"Qatar akan menjadi cabaran besar buat kami kerana mereka sangat mahir dalam mengubah taktik dan formasi. Pesan saya buat pemain adalah segera menyesuaikan diri dengan permainan Qatar."

Tambahnya: "Kami memberi tumpuan kepada satu persatu perlawanan dan saya tidak memberi tekanan kepada pemain dengan mengatakan bahawa kami mesti menang.

"Pemain-pemain, bagaimanapun, bertekad untuk menghadiahkan kegembiraan kepada negara mereka dan kami akan memberikan yang terbaik kepada Qatar."

Katanec telah memikul tanggungjawab bersama Iraq selama lima bulan berbanding Sanchez di Qatar, 18 bulan.

Ini kali ketiga Qatar berjaya melepasi peringkat kumpulan selepas disingkirkan dua kali dalam pusingan 16 sebelum ini -- tewas kepada China pada 2000 dan Jepun pada 2011.

Bekas jurulatih skuad remaja Barcelona, ​​Sanchez, mengakui betapa pentingnya untuk menumpukan perhatian terhadap cabaran besar yang seterusnya untuk mengelakkan daripada ditimpa nasib yang sama seperti Jordan.

"Ini adalah peringkat kalah mati dan semuanya menjadi satu perlawanan. Dengan satu kekalahan, kami akan dihantar pulang," katanya dalam sidang media.

"Kami juga tidak dibolosi walau satu gol pun di peringkat kumpulan tetapi semuanya boleh berubah sekelip mata dan kami boleh tersingkir.

"Ini adalah sesuatu yang tidak kami inginkan dan pemain sedar bahawa mereka harus memberi tumpuan penuh," katanya.