UAE 3 KYRGYZSTAN 2
(UAE menang dalam masa tambahan)

Ahmed Khalil menyempurnakan sepakan penalti dalam masa tambahan untuk membuka jalan kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) membalas dendam terhadap Australia selepas tuan rumah itu menundukkan Kyrgyzstan 3-2 dalam pusingan 16 Piala Asia 2019.


UAE meniti di landasan tepat untuk mara dalam tempoh 90 minit dalam aksi awal pagi tadi yang menyaksikan Ali Ahmed Mabkhout meneruskan sentuhan gol dalam tiga perlawanan berturut-turut untuk memberikan pasukannya kelebihan 2-1 selepas jaringan pembukaan Khamis Esmaeel dipadamkan oleh gol tandukan Mirlan Murzaev.

Bagaimanapun, pemain gantian, Tursunali Rustamov, mengheret aksi ke masa tambahan dengan tandukan pada masa kecederaan untuk kedudukan terikat 2-2, namun ia tidak menghalang UAE untuk mara menerusi tendangan penalti Khalil pada minit ke-103.

UAE berpeluang untuk melunaskan dendam disekat Australia dalam kempen separuh akhir Piala Asia 2015 -- Socceroos menang 2-0 untuk kemudian dijulang selaku juara -- menjelang pertemuan suku akhir edisi 2019 ini.

Skuad bimbingan Alberto Zaccheroni itu memecah kebuntuan perlawanan apabila sepakan sudut Ismaeil Matar disambar Khalifa M Ghanim sebelum disudahkan Esmaeel dengan tandukan.

Namun, Kyrgyzstan menebus gol itu 12 minit kemudian apabila Murzaev memperdayakan penjaga gol, Khalid Eisa Bilal, sebelum menolak bola melintasi garisan gawang biarpun dua pertahanan lawan berusaha mematahkan gerakan itu.

Ketika babak kedua mencecah 19 minit permainan, Mabkhout yang merupakan penjaring terbanyak dalam Piala Asia 2015 memanfaatkan kelekaan pertahanan lawan dengan memastikan dirinya tidak ofsaid untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Kyrgyzstan, yang terlepas dua peluang berharga menerusi Tamirlan Kozubaev dari jarak dekat, sudah terbayang pintu keluar sebelum pemain gantian, Rustamov, menyambut sepakan penjuru Anton Zemlianukhin pada minit ke-91 untuk mengimbangi kedudukan perlawanan.

UAE muncul pemenang dalam masa tambahan selepas dihadiahkan sepakan penalti berikutan kesilapan Bekzhan Sagynbaev yang menarik Mabkhout dan Khalil melepaskan tendangan ke tengah pintu gol biarpun tindakannya itu cuba dikuis keluar oleh Kutman Kadyrbekov dengan kakinya.

Kyrgyzstan gagal untuk bangkit buat kali ketiga sungguhpun percubaan Bakhtiyar Duyshobekov dan Rustamov sempat dinafikan tiang gol.