Jurulatih Arab Saudi, Juan Antonio Pizzi, optimis menjelang pertembungan pusingan 16 Piala Asia 2019 menentang Jepun.

Kekalahan 0-2 kepada Qatar dalam perlawanan terakhir kumpulan mencetuskan laluan berliku buat juara empat kali itu di Stadium Sharjah, malam ini.

Pizzi dikritik kerana menerapkan pendekatan terlalu konservatif, namun menegaskan pemainnya memiliki keyakinan tinggi untuk berdepan Jepun.

"Kami sangat gembira kerana telah melayakkan diri ke pusingan 16 kerana cita-cita kami adalah untuk meneruskan kemaraan," katanya kepada pemberita.

"Kami sedar kami akan menghadapi salah sebuah pasukan pilihan dalam Piala Asia.

"Mereka dianggap skuad terbaik di Asia tetapi keyakinan kami tetap tinggi, sebab itulah kami berada di sini. Ia tidak akan menjadi perlawanan yang mudah untuk kami tetapi kami akan cuba menang."

Bekas jurulatih Chile, Pizzi, berusaha untuk memperbaiki pendekatan Arab Saudi dengan mengamalkan pendekatan corak hantaran berhati-hati -- ia sesuatu yang sering diamalkan oleh skuad Jepun.

"Jaringan adalah penting tetapi untuk bertemu pasukan seperti Arab Saudi, adalah penting juga untuk kami tidak bermain terlalu bertahan," kata ketua jurulatih Samurai Biru, Hajime Moriyasu, dalam sidang berita pra-perlawanan.

"Apa pun boleh berlaku di padang tetapi pemain saya tahu apa yang mereka perlu lakukan dan mereka perlu bermain sebagai satu unit.

"Saya yakin Arab Saudi sangat bermotivasi. Selepas mereka kalah dalam perlawanan terakhir, kami perlu menerapkan mentaliti untuk menang.

"Arab Saudi memiliki kemahiran permainan individu dan merupakan pasukan yang baik. Mereka boleh menjadi agresif dalam serangan dan juga bertahan, jadi kami harus bersedia untuk menghadapinya," ujarnya lagi.