OMAN 1 SINGAPURA 1
(Oman menang menerusi penentuan penalti 5-4)

Oman dinobat juara sulung Kejohanan Bolasepak Piala Airmarine selepas menewaskan Singapura 5-4 dalam penentuan sepakan penalti setelah permainan 90 minit terikat 1-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.


Aziz Al-Maqbali menjaringkan gol dalam separuh masa pertama sebelum Zulfahmi Arifin menyamakan kedudukan dalam masa kecederaan bagi membawa perlawanan ke penentuan sepakan penalti.

Oman jelas merupakan pasukan yang lebih baik sejak dari awal permainan dengan kerap mendatangkan ancaman ke kubu Singapura.

Pasukan di ranking ke-90 dunia itu memanipulasi kelemahan benteng pertahanan lawan sebelum Aziz menanduk masuk jaringan pembukaan perlawanan -- yang ke-27 di peringkat antarabangsa -- pada minit ke-22.

Semangat juang Singapura, bagaimanapun, wajar diberikan pujian apabila mereka bangkit untuk mengimbangi perlawanan dalam separuh masa kedua.

Usaha keras yang dilakukan skuad kendalian Nazri Nasir itu akhirnya membuahkan hasil selepas Zulfahmi melakukan sepakan percuma mengagumkan yang menewaskan penjaga gol Oman, Faiyz Al-Rusheidi, bagi membawa perlawanan ke penentuan sepakan penalti.

Bagaimanapun, kesilapan Faris Ramli menyepak bola ke palang gol membuatkan Singapura terpaksa berputih mata apabila Raed Ibrahim Saleh menewaskan Zaiful Nizam untuk memberikan kejuaraan buat Oman.