Pengurus skuad bola sepak kebangsaan, Datuk Wira Yusoff Mahadi, menganggap ia adalah masa yang tepat untuk ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe, menilai bakat pemain lain selepas empat tonggak utama negara tidak akan menyertai Piala Airmarine, 20 hingga 23 Mac ini.

Empat tonggak negara, Akhyar Rasyid, Syahmi Safari, Safawi Rasid dan Syamer Kutty Abba, tidak akan menyertai skuad kendalian Cheng Hoe itu bagi memperkuatkan skuad B-23 negara kendalian Datuk Ong Kim Swee dalam kelayakan Kejohanan AFC bermula 22 Mac ini.

Yusoff percaya Malaysia mempunyai ramai pemain berkualiti yang mampu beraksi baik bagi mencipta kejayaan.

"Sebelum ini, semangat dan jiwa pemain untuk mewakili negara kerap dijadikan persoalan.

"Namun, perkara itu sudah berubah sejak skuad B-23 negara mara ke separuh akhir Kejohanan Kelayakan AFC di China tahun lalu .

"Sejak itu, semangat pemain untuk mewakili negara bertambah baik," katanya.

Malaysia, yang ketika ini berada di ranking ke-35 Asia, perlu memanfaatkan kejohanan empat penjuru itu bagi memperbaiki ranking untuk sekurang-kurangnya melonjak satu anak tangga.

Ia bagi mengelakkan pusingan play-off kelayakan Piala Dunia Qatar 2022.