Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, enggan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kekalahan di tangan Singapura dalam Piala Airmarine 2019 berikutan sasaran yang tidak seiring dengan situasinya bersama pasukan itu.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, meletakkan sasaran untuk melihat skuad negara muncul juara dalam kejohanan jemputan empat negara itu.

Ketetapan itu dibuat ketika beliau kehilangan ramai pemain tonggak, antaranya empat pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), iaitu Farizal Marlias, Aidil Zafuan Abdul Radzak, Syafiq Ahmad dan Adam Nor Azlin.

Situasi itu menyebabkan Cheng Hoe akhirnya terpaksa menanggung aib tumpas 0-1 kepada Singapura pada penghujung perlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi dan jaringan Faris Ramli itu meranapkan impian Harimau Malaya ke aksi penentuan kejuaraan.

"Kami tempa kejayaan atau tanggung kekalahan bersama-sama.

"Sudah tentu pemilihan pemain terletak di tangan saya tetapi separuh daripada pemain utama tidak dapat bersama (kami malam ini) dan ia sedikit-sebanyak menjejaskan momentum kami," ujar Cheng Hoe.

Kekalahan itu juga tentunya menjejaskan misi Harimau Malaya untuk memperbaiki ranking dunia dan mendaki sekurang-kurangnya ke tangga ke-34 Asia bagi mengelak aksi play-off kelayakan Piala Dunia 2022.

"Ketika saya bergelar pemain sekalipun, apabila melibatkan pertembungan dengan Malaysia, ia satu perseteruan yang kami sematkan untuk sentiasa menang, terutama ketika beraksi di tempat sendiri.

"Ketika saya mewakili negara, kami dibelasah 0-4 di tempat sendiri dan ia sesuatu yang sangat memalukan," kata jurulatih Singapura, Nazri Nassir.