Pahang dan Negeri Sembilan menjanjikan aksi menarik tatkala kedua-dua pasukan bersedia turun ke gelanggang bagi merebut Piala Agong 2017 di Stadium Darulmakmur, Kuantan, Selasa ini.

Sepertimana lazimnya, Piala Agong adalah aksi pembuka tirai bagi Kejohanan Piala Emas Raja-Raja (PERR) yang menemukan juara PERR dan juara Piala Agong edisi tahun sebelumnya.

Pahang merupakan juara bertahan PERR setelah menewaskan PDRM 6-2 dalam final tahun lalu manakala Negeri Sembilan pula menjulang Piala Agong 2016 dengan menewaskan Perak 2-0.

Jelas, keyakinan dan motivasi cukup tinggi di kem kedua-dua pasukan tatkala masing-masing mahu menjadikan kemenangan sebagai suntikan untuk menghadapi PERR musim baru.

Pengurus Pahang, Datuk Anuwar Awad, berkata walaupun pasukan itu bakal mempertaruhkan sepenuhnya kepercayaan kepada kudrat pemain baru, beliau percaya mereka akan dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

"Semua pemain kami adalah wajah baru, sepenuhnya berusia 25 tahun ke bawah berbanding Negeri Sembilan yang mengekalkan sebahagian besar pemain mereka.

"Apapun ini satu platform pendedahan yang cukup bagus buat mereka dan saya percaya mereka mampu menyerlah dan akan membalas kepercayaan.

"Persiapan kami tidaklah begitu sempurna kerana pemain-pemain ini kami ambil daripada pasukan yang bermain dalam Liga Bolasepak Pahang yang sedang berjalan, jadi masa latihan mereka kita tidak boleh ganggu, namun setakat ini semuanya lancar.

"Musim lalu kami tamatkan dengan kemenangan bergaya, musim ini kami mahu buka buku baru dengan kemenangan," kata Anuwar.

Bagi pengurus Negeri Sembilan, Abdul Rafi Abdul Murad, persiapan pasukan itu di landasan tepat dan beliau berpendapat peluang untuk kedua-dua pasukan adalah seimbang walaupun mereka bermain di tempat lawan.

"Bagi saya, kedua-dua pasukan ada tekanan. Tekanan bagi kami adalah untuk pertahankan piala, nak mempertahan adalah lebih sukar daripada memenanginya. Tekanan bagi Pahang adalah bermain di tempat sendiri dan berdepan harapan tinggi penyokong sendiri.

"Kami ada adunan pemain muda dan berpengalanan. Empat belas pemain musim lalu masih kekal dalam pasukan dan kami telah menyerapkan beberapa pemain Piala Belia Negeri Sembilan dan Piala Presiden PKNS.

"Saya percaya ini menjadikan skuad kami lebih mantap. Kami mahu pertahan Piala Agong dan menyerlah dalam PERR," kata Abdul Rafi.

Juara Piala Agong akan menerima hadiah wang tunai RM20,000 manakala naib juara pula mendapat RM10,000.

Aksi pada Selasa ini juga akan menyaksikan berkuatkuasanya peraturan PERR musim baru yang menetapkan setiap pasukan untuk mendaftar sekurang-kurangnya lima pemain berusia bawah 21 tahun dan dua daripada mereka wajib bermain 90 minit di atas padang.

Selain itu, kelibat pemain Liga Super dan Liga Perdana juga sudah tidak dibenarkan untuk mewakili mana-mana pasukan.

Sebelum aksi antara kedua-dua pasukan, Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia akan mengadakan Majlis Pelancaran PERR 2017 yang akan disempurnakan oleh Exco Belia dan Sukan Pahang, Datuk Mohd Johari Hussin.