Jurulatih penjaga gol negara, Azmin Azram Abdul Aziz, mengakui keyakinan penjaga golnya, Khairul Fahmi Che Mat, berada di tahap terbaik menjelang pertemuan menentang Myanmar di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Khairul Fahmi mendapat kepercayaan untuk menggalas tugas sebagai penjaga gol utama skuad negara dalam kempen Piala AFF 2018.

Penjaga gol berusia 29 tahun itu mengetepikan dua rakannya, Farizal Marlias dan Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, apabila beraksi dalam tiga perlawanan berturut-turut.

Namun, Khairul Fahmi sudah dibolosi tiga gol dengan dua daripadanya adalah ketika perlawanan menentang Vietnam di Hanoi, Jumaat lalu.

Tampak menjejaskan moral dan keyakinan untuk aksi berdepan Myanmar, Azmin tetap optimis dengan kemampuan Khairul Fahmi untuk kekal mengemudi benteng akhir skuad negara.



"Saya memberikan rehat kepada kesemua penjaga gol sebelum menghadapi Myanmar. Saya mahu mereka merehatkan minda untuk memastikan persembahan yang terbaik nanti," kata Azmin.

Imej: Asiana