Jurulatih negara, Datuk Ong Kim Swee, mengesahkan Khuzaimi Piee mengalami kecederaan hamstring dan situasi itu menyaksikan khidmat pertahanan kiri itu bakal diketepikan untuk Kejohanan Piala AFF Suzuki, bulan ini.

Khuzaimi diturunkan dalam kesebelasan utama ketika perlawanan latihan menentang skuad bawah 22 tahun negara di Padang Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.

Situasi itu menambah kesukaran buat Kim Swee memandangkan beliau hanya mempunyai Nazirul Naim Che Hashim sebagai pertahanan kiri ketika ini.

"Sudah tentu situasi ini menambah kesukaran saya kerana kini tinggal Nazirul Naim sahaja sebagai pemain pertahanan kiri.

"Mungkin Ronny Harun, Matthew Davies atau kemungkinan juga Rizal Ghazali akan dialih ke posisi itu. Tetapi semuanya bergantung kepada keadaan," ujarnya.

Menurut Kim Swee, pemain yang berada dalam senarai bersedia untuk posisi itu adalah tonggak Melaka United, Khair Jones.

Dalam perlawanan itu, skuad negara mencatat kemenangan 4-3.

Gol-gol skuad negara dihasilkan oleh Amri Yahyah, Shahrom Kalam, Syazwan Zainon dan Zaquan Adha Abd Radzak pada setiap babak perlawanan.

"Memang tidak bagus apabila anda melepaskan tiga gol.

"Sebab itulah perlawanan seperti ini penting supaya kami dapat menilai apa yang perlu diperbaiki.

"Penjaga gol, Hafizul (Hakim) diberi peluang untuk beraksi dalam perlawanan pertamanya dan kami bersikap sambil lewa sehingga dibolosi.

"Ini semua perlu diperbaiki sebelum kami menghadapi (perlawanan ujian menentang) Papua New Guinea (Isnin ini)."